Pahang Online Football Community
PAFOC adalah sayap e-fans bagi PCC. Untuk menjadi ahli anda perlu mendaftar terlebih dahulu di PCC kemudian di PAFOC. Ahli mendapat akses penuh termasuk gambar dan pautan. Tertakluk kepada kelulusan Admin.

Farizal Marlias (Perlis)

View previous topic View next topic Go down

Farizal Marlias (Perlis)

Post  Soul_Eight on Mon Nov 23, 2009 8:42 pm

Stailo Farizal
Oleh Fairuz Zaidan

[You must be registered and logged in to see this image.]

90 minit bersama Farizal

KELIBAT personaliti ini menyarung jersi, biasa dilihat. Untuk kelainan, nah gaya berbeza penjaga gawang skuad bola sepak negara, Mohd Farizal Marlias! Tampil dengan sut mahupun kasual, mari berkongsi sisi jejaka 23 tahun ini...

LEBIH sebulan mengatur janji, akhirnya peluang mengenali lebih dekat penjaga gawang skuad bola sepak kebangsaan ini tercapai. Biarpun sesi fotografi terpaksa diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya - atas faktor jadual latihan yang padat, tempoh 90 minit bersama Mohd Farizal Marlias tidak dipersiakan.

Melihat orangnya, pasti ramai menyangka pemuda ini pendiam. Namun, si empunya badan tidak mengakui hakikat itu.

Ramah bercerita, Mohd Farizal yang berasal dari Jengka 18, Maran, Pahang mengakui ramai tersalah anggap karakter dirinya. Malah, ada yang menyangka beliau seorang pembengis.

Lupakan sejenak persepsi orang, Mohd Farizal bercerita, beliau sedang memberi tumpuan penuh kepada sesi latihan untuk mempersiapkan diri mewakili negara pada Sukan Sea di Laos, bulan depan.

“Pada masa sama, kami juga sedang membuat persiapan menentang menentang skuad Uzbekistan, pada perlawanan persahabatan tidak lama lagi.

“Ini akan menjadi medan bagi skuad kebangsaan membuka rentak selain menjadi kayu pengukur terhadap kemampuan dan kecergasan kami dalam menghadapi cabaran Sukan Sea,” kata Mohd Farizal yang juga beraksi bersama pasukan Perlis.

Jatuh bangun sebagai penjaga gawang, Mohd Farizal berdepan sokongan dan cemuhan penyokong bola sepak. Selama lebih 10 tahun menguasai posisi benteng terakhir skuad bola sepak, pelbagai cerita suka duka ditempuh anak muda ini.

“Sudah tentu apabila kita menang, ramai bersorak. Senarionya berbeza pula apabila kita tewas... Namun, sebagai pemain, saya hanya mampu bersabar dan berusaha memperbaiki diri,” kata Mohd Farizal.

Puas bercerita mengenai dunia bola sepak yang diminatinya sejak berusia 12 tahun, Mohd Farizal bercerita pula perihal cita rasa fesyen. Katanya, beliau lebih selesa bergaya sederhana dan menggemari seluar denim bersama kemeja T.

Mohd Farizal berkata, beliau lebih banyak membeli-belah di Kuala Lumpur seperti di kompleks beli-belah Mid Valley dan Sungei Wang Plaza berbanding di Perlis.

“Jika tidak ada latihan, saya banyak menghabiskan masa di rumah. Jika keluar pun, pergi menjamu selera atau sesekali berkunjung ke Padang Besar,” katanya yang tampak segak menggayakan persalinan sut dan kemeja kasual jenama Alfred Dunhill.

XY - Ikon Lelaki menyelami semangat juang Mohd Farizal...

Bagaimana anda boleh terbabit dalam sukan bola sepak terutama dengan kepakaran khusus sebagai penjaga gawang?

Ketika kecil, saya seperti kanak-kanak lain aktif bermain bola sepak. Pada usia 12 tahun, seorang guru menyarankan saya lebih serius melatih kemahiran sebagai penjaga gawang.

Sejak itulah saya mula bertemu rentak, berlatih dan meningkatkan kemahiran sebagai penjaga gol sehingga hari ini.

Boleh ceritakan serba sedikit detik awal menjadi penjaga gawang?

Sejak mewakili sekolah hingga ke peringkat zon, daerah dan negeri. Semua proses itu saya lalui secara seimbang. Saya bertuah dan bersyukur kerana perjalanan menjadi penjaga gawang seolah-olah berada pada landasan tepat.

Saya mula menuntut di Sekolah Tunas Cemerlang di Kuantan, kemudian terpilih pula ke Sekolah Menengah Sultan Abu Bakar. Selepas itu, saya meneruskan pembelajaran di Sekolah Sukan Bukit Jalil hingga tingkatan lima.

Apakah agaknya kriteria yang perlu ada bagi seorang penjaga gol?

Bagi saya, faktor utama ialah teknik selain sifat keberanian yang tinggi untuk berdepan dengan pihak lawan. Ini kerana kita adalah benteng terakhir pasukan.

Faktor ketinggian sebagai kriteria utama penjaga gol, tidaklah tepat. Lihat saja penjaga gawang seperti Jorge Campos dari Mexico dan Fabian Barthez dari Perancis yang mampu memberi aksi menarik biarpun mereka tidak setinggi mana.

Apa agaknya realiti bergelar bintang sukan?

Rutinnya seperti biasa iaitu menjalani sesi latihan pada sebelah pagi; menjaga pemakanan; mengambil makanan tambahan dan berlatih semula pada sesi petang. Namun, ini bukanlah bererti kita terikat 100 peratus, sebaliknya proses ini diikuti mengikuti jadual sistematik.

Pada usia muda anda sudah bertanggungjawab memikul cabaran besar mewakili negara. Apa agaknya perasaan anda?

Saya tidak menyangka, pada suatu hari, saya bergelar penjaga gol dan beraksi mewakili negara. Terus terang, saya terkejut tetapi berbangga kerana ini hasil titik peluh saya serta komitmen yang diberi selama ini.

Anda terpilih menjaga gawang ketika skuad kebangsaan menentang kelab gergasi Manchester United, baru-baru ini. Boleh kongsi sedikit detik bersejarah itu?

Sepanjang menjadi penjaga gol, itulah kali pertama saya beraksi dalam acara terbesar dengan penonton yang cukup ramai. Sukar diungkap dengan kata-kata. Saya hanya mampu membulatkan tekad untuk beraksi sebaik mungkin biarpun dada ketika itu berdebar-debar.

Sampai bila agaknya anda beraksi dalam sukan bola sepak?

Saya tidak pernah meletakkan sasaran untuk bersara, sebaliknya hanya mahu memberi fokus kepada kerjaya ini selagi terdaya.

Terjemahan fesyen bagi diri anda?

Saya tidaklah terlalu berfesyen. Ini kerana saya lebih selesa bergaya sederhana. Saya lebih gemar menggayakan denim bersama kemeja T.

Sebagai lelaki, pandangan anda mengenai pilihan fesyen jejaka di Malaysia?

Saya dapat rasakan semakin banyak pilihan untuk lelaki memilih gaya mengikut cita rasa dan kegemaran fesyen masing-masing. Apatah lagi, banyak pilihan di Kuala Lumpur mengikut kesukaan.

Cinta dan alam rumah tangga. Komen anda?

Ketika ini, karier menjadi keutamaan. Berkahwin bagi saya hanya sesuai pada usia 27, 28 atau 29 tahun (tersenyum).

Aksi MU & soal ketinggian

SEAKAN baru semalam berakhirnya episod gemilang perlawanan bersejarah skuad bola sepak negara menentang kelab bola sepak gergasi, Manchester United (MU) dengan kesudahan Malaysia tewas tipis 3-2.

Di sebalik debar ribuan penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil, Julai lalu, tiada yang dapat melupakan aksi Mohd Farizal yang menjaga gawang skuad Malaysia.

“Bohonglah jika saya katakan tidak gentar berdepan puluhan ribu penonton. Suasana cukup berbeza hingga menyemarakkan lagi semangat kami.

“Memang saya berbangga dan bertuah kerana terpilih mewakili negara dalam perlawanan itu,” katanya yang tidak bermimpi berkongsi padang bersama skuad MU.

Ditanya perasaan yang berbunga selepas terpilih dalam kesebelasan pemain menentang MU, Mohd Farizal berkata, beliau tidak terlalu memikirkannya kerana bimbang tekanan mengganggu fokus.

“Selepas tamat perlawanan menentang MU, saya disapa penjaga gawang, Edwin van der Sar yang memuji dan memberi kata-kata perangsang kepada saua untuk meningkatkan mutu persembahan.

“Ini sebagai bonus dalam usaha meningkatkan persembahan saya selepas ini,” katanya yang menjadikan dua penjaga gol dunia, Gianluigi Buffon dan Jose Manuel Reina sebagai sumber inspirasi.

Bercerita lanjut pembabitannya dalam sukan bola sepak terutama menjadi penjaga gol, Mohd Farizal tidak lupa beliau pernah menjadi penjaga gol paling rendah, suatu waktu dulu.

“Ketika usia muda, saya pendek orangnya. Saya tidak sangka, akhirnya saya mencapai ketinggian 177 sentimeter. Bukan saya saja pelik, rakan-rakan lama juga terkejut bertemu saya.

“Bagi saya, faktor ketinggian bukanlah kelebihan. Sebaliknya, teknik, bakat dan keberanian adalah penentu dalam mengelak gawang dibolosi,” katanya.

Farizal dan…

* Wanita pilihan?

Suka yang sederhana, bertudung, jujur, baik hati dan menghormati saya serta keluarga

* Jika bukan penjaga gol?

Mungkin akan berkhidmat dengan badan beruniform seperti polis atau tentera

* Cara terbaik meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam?

Banyakkan jaringan sistem transit aliran ringan (LRT) dan bas bagi memastikan orang ramai selesa menaiki pengangkutan awam

* Bola sepak negara boleh maju kalau...

Pemain serta penyokong sama-sama membantu seterusnya mengembalikan kegemilangan bola sepak negara.

* Harga jualan sekotak rokok pernah dicadangkan RM30. Pandangan anda?

Satu cadangan baik bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap bahaya merokok dan membantu mengurangkan kumpulan perokok tegar.



PROFIL:

* Nama : Mohd Farizal Marlias
* Umur : 23 tahun
* Tarikh lahir : 29 Jun 1986
* Tempat lahir : Jengka 18, Maran, Pahang
* Tinggi : 177 sentimeter
* Berat : 68 kilogram
* Status : Bujang

Soul_Eight

Posts : 68
Join date : 2009-11-22

View user profile

Back to top Go down

Re: Farizal Marlias (Perlis)

Post  zidane on Tue Nov 24, 2009 4:10 am

budak Jengka rupanya dia ni...
penjaga gol dari Pahang memang superb...
anataranya....Khairul Azman,Mudzar,Iqbal dan ramai lagi...

zidane

Posts : 34
Join date : 2009-11-23
Location : Paris

View user profile

Back to top Go down

Re: Farizal Marlias (Perlis)

Post  apens7 on Tue Nov 24, 2009 8:51 am

aiseh.. besdey sama ngn gua la bro.... hahahhahaa

apens7

Posts : 52
Join date : 2009-11-19

View user profile

Back to top Go down

Re: Farizal Marlias (Perlis)

Post  Sponsored content Today at 3:07 am


Sponsored content


Back to top Go down

View previous topic View next topic Back to top


 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum